Rabu, 13 Februari 2013

TRADISI?


4 Februari 2013

Jika dahulu aku sering mendengar apabila selesai majlis jamuan dan persandingan di sesebuah majlis kenduri kahwin, pasangan pengantin akan diminta untuk membasuh segala periuk belanga,kauli,kawah dan segala peralatan yang digunakan untuk menyediakan hidangan di hari bersejarah itu. Namun kini, arahan berbuat demikian semakin jarang kudengar dan mampu aku katakan untuk tempoh dua tahun yang lepas aku tidak lagi mendengar perkara tersebut dilakukan oleh pasangan pengantin baru. Hal ini berikutan dengan peredaran zaman yang membawa pelbagai perubahan, kemudahan serta teknologi kepada insan.
Meluasnya perkhidmatan katering bagiku merupakan satu alasan yang amat kukuh mengapa perkara sebegini berlaku. Bukanlah ingin menyalahkan berkembangnya perkhidmatan ini, tetapi mengagumi mereka yang menceburi bidang tersebut. Manakan tidak, mereka sanggup bersusah payah demi merealisasikan majlis bagi pihak orang yang lain. Kedengaran seperti mudah untuk menyediakan makanan di hari bersejarah tersebut, tetapi bagi mereka yang melibatkan diri hanya mereka yang akan merasakan betapa rumitnya,manisnya pekerjaan tersebut.
Dengan perkembangan perkhidmatan ini, ianya sedikit sebanyak dapat membantu dalam penjanaan ekonomi sesebuah keluarga yang mengusahankannya dan juga mereka yang menceburi perkhidmatan ini. Oleh itu, aku berpendapat kita seharusnya menghargai mereka yang menyediakan perkhidmatan katering ini. Sekiranya kita tidak selesa dengan perkhidmatan yang disediakan, gunakanlah saluran yang sebetulnya untuk mengadu. Seeloknya berterus teranglah kepada pengusaha tersebut bukan menyebarkan keburukan itu kepada individu yang lain. Kita sebagai pengguna sememangnya berhak untuk mendapatkan perkhidmatan yang terbaik kerana kita mengeluarkan sejumlah wang untuk mendapatkannya. Dan seharusnya juga bagi pihak pengusaha untuk menyediakan perkhidmatan yang terbaik mengikut kehendak pelanggan mereka.
Apabila kedua-dua pihak mencapai kepuasan yang diinginkan, maka kita akan dapat membina satu perhubungan sesama manusia yang baik. Perasaan yang tidak baik, cakap-cakap belakang juga dapat dihindarkan.


ALLAH LEBIH MENGETAHUI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan