Bermulalah kisah perjuangan menjawab soalan yang diuji
melalui peperiksaan akhir semester ini. Sesi pertama tadi dimulakan dengan
subjek Food Science. Soalan yang
diajukan amat mencabar minda yang kurang melakukan persediaan, namun tidak bagi
mereka yang telah bersedia.
Secara jujurnya, aku telah menggolongkan diri ini dalam
kalangan mereka yang kurang melakukan persediaan menghadapi ujian tadi.
Akibatnya, beberapa soalan gagal dijawab mengikut kehendak soalan. Adapun
soalan dijawab, tetapi apabila merujuk kepada buku teks, jawapanku jauh
menyimpang. Inilah akibatnya jika persediaan dilakukan dalam saat-saat akhir.
Namun, syukur kerana dalam Sembilan soalan yang diuji masih ada soalan yang aku
jawab dengan penuh keyakinan. Hal ini kerana, aku telah menekankan bacaan di
tajuk-tajuk tertentu.
Tepat jam 5.15 petang tadi, kami diarahkan supaya berhenti
menjawab. Ketika itu secebis kelegaan muncul. Namun sampai sahaja di bilik,
terlihat buku ekonomi diatas katil, dengan segera kepala memikirkan tentangnya
pula. Namun kegelisahan itu seketika sahaja. Aku terus bersiap menukar pakaian
sukan dan turun bermain bola tampar sebelum bertolak ke Masjid Negeri Selangor
untuk berbuka puasa.
Alhamdulillah, aku berjaya menunaikan ibadah puasa sunat hari
Khamis. Selepas solat maghrib, aktiviti membaca Yassin dilakukan seperti
kebiasaan. Dan seterusnya, aktiviti dipenuhkan dengan acara berehat menanti
esok hari yang baru. Esok aku akan memulakan proses mengulangkaji subjek Economy pula.
Harapnya keadaan seperti tadi tidak berulang lagi.
“BEAT YOUR PROBLEM TODAY AND KEEP MOVING FORWARD”
ALLAH LEBIH MENGETAHUI.